‘Imigresen Tak Boleh Layan Pekerja asing Macam Binatang’



Malaysia, Mercinews.com – Melayan manusia ‘macam binatang’ ketika melakukan serbuan tidak patut menjadi amalan kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

“Ini keterlaluan dan tak boleh diterima.

“Pegawai imigresen tidak boleh memperlakukan pekerja asing seperti binatang, walaupun mereka tidak memiliki dokumen kerana pekerja ini adalah mangsa sistem yang ada di negara kita,” kata Charles yang juga Pengerusi Hak Asasi Manusia untuk Anggota Parlimen Asean.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas hantaran Facebook yang tular daripada seorang majikan yang mendedahkan pengalaman mengecewakan yang dihadapi oleh pembantu rumahnya semasa serbuan Jabatan Imigresen pada hari Ahad lalu.

Ia merupakan hari pertama tindakan keras terbaru imigresen yang diberi nama “Ops Mega 3.0” – yang dilancarkan selepas berakhirnya program mengambil semula pekerja asing tanpa izin.

Dirantai berkumpulan ke tandas

Dalam hantaran Facebooknya, ekspatriat Lynn Townley mendakwa pembantu rumahnya ditahan bersama dengan 300 pekerja asing lain di sekitar Kota Raya, Kuala Lumpur dan dibawa ke ibu pejabat Imigresen di Putrajaya untuk disoal siasat.

“Saya mendapat panggilan (telefon) daripada pembantu saya yang mengalami seolah histeria kerana dia dimasukkan ke dalam van, digari, dirantai dengan sepuluh orang lain yang disyaki bekerja secara haram.

“Dia bukan sahaja memiliki salinan pasportnya, tetapi juga gambar visa kerja yang betul untuk diunjukkan kepada pegawai (imigresen),” kata Townley yang mengatakan bahawa dia telah menetap di Malaysia selama 13 tahun yang lalu.

Baca Juga:  Polisi Tutup Akses Masuk ke Kediaman Najib Razak

“Tetapi (petugas imigresen) bukannya memeriksa dokumen itu, sebaliknya mereka memasukkan semua orang ke dalam trak seperti haiwan dan membiarkan mereka menunggu tanpa air selama lebih dari 5 jam, dalam keadaan dirantai bersama, bahkan pergi ke tandas pun mereka masih dirantai sebagai satu kumpulan,” katanya.

SOP serbuan

Townley juga berkongsi video pendek penangkapan dan gambar pekerja yang ditahan yang dikatakan diambil di ibu pejabat Imigresen Putrajaya serta dua gambar yang dikatakan menunjukkan bekas gari pada pergelangan tangan pembantu rumahnya.

Semakan Malaysiakini mendapati hantaran Facebook Townley telah dikongsi lebih daripada 3,000 kali.

Dalam keadaan sedemikian, Charles menggesa Jabatan Imigresen memberitahu umum Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk serbuan tersebut.

Dan jika SOP tidak boleh diumumkan, serbuan harus dihentikan untuk mencegah pelanggaran hak pekerja asing,” tegasnya.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali bagi mendapatkan ulasan mengenai dakwaan tersebut.[]

Sumber: Malaysiakini

  • 95
    Shares
Berikan Komentar

Mercinews.com - Situs Media Online berita terbaru hari ini, memberikan akses informasi secara mudah, cepat, akurat, dan berkualitas kepada masyarakat luas.

Copyright © 2018 Mercinews.com. All Rights Reserved